Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mempertikai tindakan FAM yang mahu memotong tiga mata terhadap pasukan Liga Premier pada musim ini.
Ini selepas FAM mengarahkan Kelantan supaya membayar tunggakan gaji 11 bekas pemain Kelantan berjumlah lebih RM187,000.
Malah, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata Kelantan akan dikenakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut.
“Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain,” katanya kepada Bernama hari ini.
Namun, kenyataan Stuart mengundang rasa tidak puas hati daripada Norizam.
Beliau menganggap tunggakan gaji itu sepatutnya dilunaskan oleh KAFA bukannya Kelantan FC memandangkan kedua-dua pihak itu sudah menjadi dua entiti berbeza berikutan proses penswastaan dan pemisahan dari persatuan kepada kelab.
“Penswastaan yang kurang bijak. Hutang KAFA, denda ke Kelantan FC. Apa guna swasta?” soalnya di akaun Facebook miliknya.
“KAFA dah jelaskan baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC, dah nak fokus ke depan.”
Norizam juga mempersoal tindakan FAM yang seolah-olah sengaja mahu meletakkan segala masalah tunggakan gaji lama kepada pasukan miliknya.
“FAM pula sepatutnya membantu penswastaan. Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak 3 mata ke media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu.
“Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa. Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit referee pun belum bayar! Apa perjuangan FAM? Renovate office?” katanya.