Liga Premier Malaysia Berita

Nafi bagi amaran kepada Kelantan, Stuart minta Norizam tidak terburu-buru salahkan FAM

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menafikan telah mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media bahawa Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.

Sebaliknya beliau menganggap laporan yang dibuat oleh Bernama merupakan rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan berkenaan dan bukannya dipetik daripada kenyataan sebenar Stuart.

Kenyataan Stuart itu turut disertakan klip audio rakaman perbualan temu ramah yang telah dibuat oleh wartawan Bernama ketika menghubungi beliau yang langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC seperti yang dilaporkan dalam artikel berkenaan.

Malah Stuart enggan menjawab soalan berkenaan pemotongan mata itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan antara KAFA dan Kelantan FC.

Kenyataan sebenar Stuart:

“Saya tak nak speculate dan saya juga tak nak keruhkan keadaan di peringkat domestik, saya rasa relationship… hubungan antara FA Kelantan dan FC Kelantan amat penting untuk berada di dalam sistem atau di dalam environment yang baik untuk masalah- masalah ini dilunaskan dan diselesaikan bersama. Saya pun tak nak speculate atau give any indication yang mungkin akan spark benda yang tidak diingini di peringkat domestik hubungan antara FA dan FC. Tetapi sebagaimana saya katakan tadi Kelantan FA dalam mesyuarat tempoh hari sudah beri jaminan atau persetujuan untuk cuba membuat bayaran tersebut dan saya harap perkara itu akan dibuat.”

Justeru, Stuart mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.

“Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Sekretariat Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan.

“FAM juga akan mendapat penjelasan daripada Bernama yang mengeluarkan laporan itu atas sebab kandungannya yang boleh dianggap berlainan daripada jawapan yang diberi dalam temu ramah berkenaan.”