Liga Super Malaysia Berita

Go Auto Group, Flumen Holdings bakal pemilik Kedah, beli saham RM24 juta

Pengeluar kereta dari China, Go Auto Group dan syarikat perunding keselamatan, Flumen Holdings Sdn. Bhd. dilaporkan akan membeli saham pasukan Kedah kira-kira RM24 juta, sekali gus menjadi pemilik baharu pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super 2021.

Dua buah syarikat itu akan bekerjasama bagi membeli 80 peratus saham Darul Aman FC (DAFC) Sdn. Bhd. yang juga pemegang hak ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang ketika ini berada di bawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah).

“Ini merupakan gabungan antara syarikat dari China dan tempatan yang terdiri daripada anak-anak jati Kedah,” kata Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor kepada Utusan.

“Saya difahamkan, mereka ini memiliki pengalaman dalam menguruskan pasukan bola sepak.

“Kita telah memperhalusi perkara ini dan kedua-dua syarikat ini akan bergabung dengan memiliki 80 peratus saham dalam DAFC secara konsesi selama lima campur lima tahun, tertakluk kepada perjanjian yang ditentukan kemudian.”

Sanusi berkata pemilihan kedua-dua syarikat itu adalah berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan, pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada Kedah.

Sanusi juga mendedahkan kedua-dua syarikat itu akan turut terlibat dengan satu projek berimpak tinggi bagi menjadikan Kedah sebagai hab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan utama di Asia Tenggara.

“Projek ini akan menjana pelaburan langsung ke Kedah dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion. Di pihak kerajaan negeri, kita bersedia memberi laluan untuk membuat pelaburan di tanah seluas kira-kira 121 hektar di Sungai Petani bagi membawa masuk teknologi baharu khususnya kenderaan berasaskan elektrik.

“Insya-Allah langkah itu akan membawa peluang pekerjaan kepada lebih 8,000 orang selain membantu membuka ruang untuk kemasukan pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.”

Pengambilalihan dua syarikat itu merupakan satu berita baik buat Kedah selepas setahun bergelut dengan masalah hutang dan tunggakan gaji.

Malah, pasukan Kedah akan beroperasi sepenuhnya menggunakan wang dari pemilik baharu dan tidak lagi perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri.