Luqman Hakim Shamsudin semakin mendapat kepercayaan daripada jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe.
Ini setelah pemain berusia 18 tahun itu tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi perlawanan persahabatan Excel Mouscron di Stade Le Canonnier baru-baru ini.
Ia adalah perlawanan pertama untuk Luqman selepas pulih dari kecederaan paha dan beliau beraksi selama 45 minit pada separuh masa pertama.
Walaupun KV Kortrijk tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut, ia menunjukkan bahawa Luqman merupakan sebahagian daripada perancangan Vanderhaeghe pada musim ini.
Harian Metro juga melaporkan, Vanderhaeghe berpuas hati dengan komitmen dan prestasi Luqman yang berjaya pulih dari kecederaan.
Perlawanan itu juga memberi bayangan kepada Vanderhaeghe untuk menyusun kesebelasan utama yang akan berdepan dengan KRC Genk dalam saingan Jupiler Pro League pada Ahad ini.