Liga Super Malaysia Berita

Terengganu umum dua lagi pemain baharu

Terengganu umum kemasukan dua pemain yang beraksi dengan pasukan universiti iaitu Arif Anwar dan Asnan Ahmad.

Arif yang berusia 25 tahun beraksi di posisi penyerang dengan UiTM FC pada musim 2020 manakala Asnan yang berusia 27 tahun merupakan kapten pasukan UKM FC dan beraksi di posisi pertahanan.

Terengganu dalam kenyataan berkata sepakan akrobatik yang dilakukan Arif sehingga berjaya membawa UiTM FC ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali, telah memikat hati pihak pengurusan untuk memilih beliau.

“Arif dilihat lebih selesa dan menonjol di bahagian sayap serta kerap membarisi kesebelasan utama pasukan sebelumnya.

“Kehadiran beliau dijangka mampu memberikan lebih pilihan dan cabaran hebat kepada pemain sedia ada bagi mengisi kekosongan posisi itu yang sebelum ini diisi oleh Muhamad Faris Ramli dan D. Saarvindran.”

Arif memberitahu, beliau tertarik dengan prospek Terengganu yang layak beraksi dalam saingan Piala AFC 2021.

“Kesemua pemain ingin beraksi di pentas tertinggi seperti di Asia dan melihatkan TFC telah layak ke kempen kejohanan Piala AFC 2021, ianya dilihat sebagai satu peluang untuk bersama dalam pasukan ini untuk beraksi di pentas antara yang tertinggi di Asia ini,” menurut kenyataan di laman sesawang Terengganu FC.

Dengan kemasukan Arif dan Asnan, ini bermakna Terengganu sudah menandatangani lima pemain baharu bagi saingan musim 2021 selepas membawa masuk Faisal Abdul Halim, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.