Liga Super Malaysia Berita

Rasmi: Shahrel Fikri sertai Selangor

Shahrel Fikri Md Fauzi akhirnya membuat keputusan untuk menyertai Selangor bagi saingan Liga Super musim depan.

Penyerang berusia 26 tahun itu menjadi pemain pertama baharu yang menyertai Red Giants.

Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, penyertaan Shahrel amat dinanti-nantikan oleh pasukannya.

“Eky adalah salah seorang pemain yang berbakat besar,” katanya dalam laman sesawang Selangorfc.com.

“Kita sudah lama memerhati dan mengikuti perkembangan Eky sebagai pemain Perak dan pemain kebangsaan.

“Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, Coach Michael (Feichtenbeiner) dan Coach Karsten (Neitzel) sangat gembira kerana Selangor FC telah berjaya mendapatkan Shahrel sebagai pemain utama dan pemain ‘marquee’ kita untuk musim akan datang.

“Eky sudah membuktikan keupayaan dan ketajaman beliau mencabar pemain asing dalam menjaringkan gol pada musim lalu. Di sini, kami percaya bahawa Eky boleh menjadi pemain yang lebih baik dari prestasi semasa beliau dan mampu untuk naik ke tahap yang lebih baik, selain menjadi pemain penyerang penting untuk membawa lebih banyak kemenangan bagi pasukan Selangor dan juga skuad kebangsaan,” tambahnya.

Shahrel yang lahir di Tawau, Sabah tetapi membesar di Sitiawan, Perak menarik perhatian ramai tahun ini apabila menjaringkan 10 gol dalam 10 perlawanan ketika beraksi dengan Perak bagi musim 2020.

Beliau kini akan bergandingan dengan penjaring terbanyak Liga Super 2020, Ifedayo Olusegun.

“Saya berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan pasukan Perak atas segalanya,” kata Shahrel.

“Menyertai Selangor akan membuka lembaran baru dalam karier saya dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu saya bersama pasukan Gergasi Merah,” jelas Shahrel.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC, terutamanya kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam.”