Liga Super Malaysia Berita

Irfan Bakti mahu berkhidmat untuk kali terakhir, sebelum bersara

Irfan Bakti Abu Salim dilaporkan akan kembali mengendalikan pasukan Liga Malaysia pada musim depan.

Menurut Astro Arena, jurulatih berusia 69 tahun itu sudah bertemu dengan pihak pengurusan pasukan Negeri Sembilan dan turut dihubungi Kuching FA.

“Saya telah bertemu dengan pihak pengurusan pasukan Negeri Sembilan dan ia kelihatan agak positif,” katanya.

“Saya juga telah dihubungi pihak Kuching FA dan buat masa ini, saya akan menunggu keputusan pihak pengurusan pasukan masing-masing.”

Irfan juga mendedahkan beliau mungkin akan berkhidmat selama dua tahun sahaja lagi.

“Selepas semusim tidak bersama mana-mana pasukan membuatkan saya gelisah kerana tidak berada di padang dan mungkin saya akan kekal dalam saingan selepas ini untuk dua musim sebelum mengumumkan persaraan.”

Negeri Sembilan merupakan pasukan pertama yang dikendalikan oleh Irfan apabila memulakan karier sebagai jurulatih profesional pada 1999.

Irfan merupakan antara jurulatih tempatan terkemuka apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan Liga Super seperti Terengganu, Selangor dan Felda United.

Beliau memenangi Piala FA bersama Terengganu pada 2011 dan naib juara Piala Malaysia juga tahun yang sama.

Irfan juga membantu Terengganu meraih tempat kedua Liga Super pada 2011 dan 2018.

Bersama Felda pula, Irfan membantu pasukannya meraih naib juara Liga Premier pada 2014, naib juara Piala FA 2014 dan naib juara Liga Super pada 2016.