Liga Super Malaysia Berita

Zaquan Adha tinggalkan Kedah, tapi belum mahu bersara

Zaquan Adha Abdul Razak mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan Kedah, selepas dua musim bersama pasukan Utara Malaysia itu.

Ini selepas pengurusan Kedah memaklumkan bahawa beliau tidak ada dalam perancangan pasukan untuk musim 2021.

Namun, pemain berusia 33 tahun itu tidak menganggap kariernya sudah berakhir sebaliknya masih aktif mencari pasukan baharu untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketika ini, dia sedang mengadakan perbincangan bersama pasukan di Lembah Klang namun masih belum ditawarkan sebarang kontrak.

Beliau bagaimanapun akui sukar untuk mendapatkan pasukan baharu disebabkan COVID-19 yang memberi kesan kepada kedudukan kewangan pasukan.

“Ia merupakan satu cabaran yang agak sukar dalam situasi Covid-19 ini,” katanya kepada Astro Arena.

“Pemain tempatan amat sukar untuk mendapatkan pasukan dan kami mengetahui bukan mudah untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Buat masa ini, belum masa buat saya bersara dan saya berharap untuk terus bersaing dalam saingan Liga Malaysia.”

Sepanjang bersama Kedah, Zaquan memenangi Piala FA pada musim 2019 dan membantu pasukan meraih tempat kedua dalam saingan Liga Super musim 2020.