Luar Negara Berita

Safawi masih tidak bermain? Tan Cheng Hoe tidak bimbang

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui beliau tidak terlalu bimbang dengan perkembangan Safawi Rasid, walaupun masih belum mendapat peluang beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.

Pemain berusia 23 tahun itu hanya memanaskan bangku simpanan dalam pasukan utama, termasuklah ketika Portimonense tersingkir selepas tewas 1-0 kepada UD Leiria dalam pusingan ketiga Piala Portugal.

“Saya tak rasa kemahiran dia akan ‘berkarat’ sebab tidak dapat minit bermain,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya kenal Safawi dan dia mempunyai disiplin yang tinggi dalam sesi latihan mahupun pada perlawanan sebenar.

“Sejak bermain bersama skuad kebangsaan pada 2017, saya nampak perkembangan dia sangat banyak. Jadi saya mengharapkan dia akan teruskan usaha dan kerja keras memastikan dia berada pada tahap yang terbaik untuk skuad kebangsaan nanti.

“Lagipun, latihan dan saingan di kelab tersebut sangat hebat, saya yakin dia akan gunakan faktor itu untuk meningkatkan tahap permainan dan bersedia untuk pasukan Harimau Malaya apabila dipanggil.”

Cheng Hoe juga menganggap adalah tidak adil untuk memberikan tekanan kepada Safawi yang masih menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Eropah.

“Memang Safawi tidak mendapat minit permainan dengan kelabnya, tetapi kita kena fikir positif sebab Safawi bermain dalam Liga Portugal yang sememangnya saingan di sana sangat sukar.

“Baru-baru ini pun dia dah bermain dengan skuad Bawah 23 tahun, ia satu perkembangan yang baik. Saya rasa untuk masa depan nanti jika diberikan peluang bermain, dia akan beri yang terbaik dan mampu membuka mata ramai orang.”