MFL mendedahkan sebanyak 29 juta penonton yang menonton siaran langsung perlawanan Liga Malaysia sepanjang musim 2020.
Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1.38 juta.
Dalam saingan Liga Premier pula, pertemuan antara UKM FC dan Kelantan berjaya mencatatkan 35,000 penonton.
Piala Malaysia 2020 mencatatkan sebanyak 6.6 juta penonton, walaupun pertandingan itu akhirnya dibatalkan.
Malah, perlawanan antara Kedah dan Pahang mencatatkan sebanyak 2.2 juta penonton.
CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menganggap, jumlah tontonan yang begitu tinggi itu menunjukkan bola sepak Malaysia sentiasa mendapat sambutan yang cukup hebat, tidak seperti yang disangkakan sesetengah pihak.
“Sudah tentu perlawanan Liga Malaysia terutama membabitkan pasukan tertentu mendapat sambutan hangat daripada penonton sekali gus membantu meningkatkan jumlah tontonan menerusi platform atas talian,” katanya kepada Harian Metro.
“Walaupun, penyokong bola sepak tanah air tidak boleh ke stadium, namun masih masih mencari platform yang ada untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan.
“Selain itu, jumlah penonton yang ramai ini juga memberi kesan positif kepada penaja MFL yang mana jenama mereka dapat dipertontonkan kepada umum begitu ramai melalui platform digital, dan sudah tentu dari segi pulangan mereka bertambah walaupun penonton tidak dapat ke stadium disebabkan Covid-19.
“Jika ada pihak mengatakan industri bola sepak kita kurang mendapat sambutan adalah tidak benar kerana pasukan yang tidak popular pun turut mencatatkan jumlah tontonan mencecah ratusan ribu.”