Piala Malaysia Berita

Apa status Piala Malaysia? Ini jawapan Menteri Belia dan Sukan

Status Piala Malaysia bagi musim 2020 masih lagi menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat.

Ini susulan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk menolak cadangan MFL dan FAM yang mahu mengadakan Piala Malaysia secara berpusat di Kota Bharu, Kelantan dan Kuantan, Pahang.

Sebaliknya, MKN atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan Piala Malaysia sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, seperti apa yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican ketika sesi soal jawab menteri di Parlimen pagi tadi memberitahu sebab-sebab Piala Malaysia perlu diteruskan.

“Bola sepak di Malaysia adalah ‘the most watched sport.’

“Malahan setiap kali disiarkan di peringkat televisyen, ia ditonton antara 6 hingga 8 juta.

“Bayangkan, ia satu pertiga penduduk Malaysia, ini tidak termasuk ‘live streaming.’

“Jika diikutkan pengikut di media sosial, Selangor, Kelantan, Kedah dan JDT mempunyai ‘fanbase’ di negara ini.

Justeru, Reezal berharap MKN dapat mempertimbangkan rayuan KBS untuk membolehkan Piala Malaysia terus diadakan.

“COVID-19 sememangnya meninggalkan kesan kepada sukan bola sepak.

“Secara peribadi, saya amat berharap Piala Malaysia diteruskan di negeri yang dianggap hijau, namun kita akur kepada MKN, melihat kepada kesihatan dan keselamatan rakyat lebih penting, di samping kesediaan kedua-dua negeri tersebut memberi kebenaran.

“Apapun, insya-Allah KBS akan kemukakan rayuan demi rayuan setiap kali bila ada penurunan kes COVID-19 bagi memastikan sukan bolasepak yang diminati rakyat ini tetap mendapat tempat di negara kita.”