Liga Super Malaysia Berita

Thorsten Fink jurulatih baharu Selangor?

Selangor dilaporkan akan melantik Thorsten Fink sebagai jurulatih baharu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Menurut Astro Arena, jurulatih Jerman itu sudah pun berada di Malaysia dan sedang menjalani kuarantin.

Fink, 53, dikenali sebagai bekas pemain Bayern Munich yang memenangi Bundesliga sebanyak empat kali.

Beliau juga merupakan sebahagian dari pasukan Bayern yang tewas 2-1 kepada Manchester United dengan penuh dramatik pada perlawanan akhir UEFA Champions League.

Bagaimanapun, Fink dan Bayern berjaya memenangi Champions League pada 2001 ketika menewaskan Valencia menerusi sepakan penalti.

Selepas bersara, Fink menceburi bidang kejurulatihan dan banyak mempunyai pengalaman luas mengendalikan pasukan Basel, Hamburger SV, APOEL, Austria Wien dan Grasshoppers.

Beliau dilantik sebagai jurulatih Vissel Kobe pada 2019 dan berjaya membantu pasukannya memenangi Piala Maharaja 2019 dan Piala Super Jepun 2020.

Pasukan kendalian Fink sendiri pernah bertemu dengan JDT dalam saingan AFC Champions League awal tahun ini.

Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan pada bulan Sept lalu untuk kembali bersama keluarganya di Jerman.

Kemungkinan besar jurulatih interim Selangor, Michael Feichtenbeiner yang mengesyorkan Fink sebagai calon jurulatih pasukannya pada musim depan.