Piala Malaysia Berita

MFL merayu kepada MKN, pertimbang semula keputusan Piala Malaysia

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan TM Piala Malaysia 2020.

Rayuan ini dibuat susulan permohonan untuk meneruskan pertandingan itu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi COVID-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini,” kata CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

“Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan-pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN.”

MFL sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 selepas kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November 2020, iaitu sehari selepas pusingan pertama TM Piala Malaysia bermula.

Ghani juga menjelaskan, MFL telah menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan TM Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 di negeri-negeri berkecuali PKPB di mana MFL telah membuat permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan TM Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan. Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia Musim 2020 sekiranya pertandingan TM Piala Malaysia 2020 tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini.”

Piala Malaysia hanya mempunyai beberapa perlawanan sahaja lagi iaitu empat perlawanan suku akhir, dua perlawanan separuh akhir dan satu perlawanan akhir, dengan jumlah keseluruhan tujuh perlawanan.