Piala Malaysia Berita

MFL rancang adakan Piala Malaysia di Kota Bharu, Kuantan

MFL pada asalnya dilaporkan berancang untuk meneruskan saingan Piala Malaysia di Kota Bharu dan Kuantan.

Dua dari pada empat perlawanan suku akhir akan diadakan di Kota Bharu, manakala dua lagi perlawanan akan diadakan di Kuantan.

Ini memandangkan Kelantan, Pahang serta Perlis tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dilaksanakan di kebanyakan negeri sehingga 6 Dis ini.

Bernama melaporkan MFL akan membentangkan perkara tersebut kepada Kementerian Belia Sukan (KBS) dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera kerana aksi peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020 dijadualkan berlangsung pada Khamis dan Jumaat ini.

“Tiada keraguan untuk meneruskan Piala Malaysia yang hanya tinggal tiga pusingan, cuma kaedah untuk menjalankan saingan itu perlulah mendapat kelulusan daripada MKN,” kata sumber Bernama.

“Idea untuk ia dilangsungkan secara karnival dan setempat tidak berapa sesuai, kerana beberapa faktor seperti kekurangan fasiliti menepati piawaian standard ditetapkan, selain isu kerosakan permukaan padang,” tambah beliau.

Namun semalam, MKN membuat keputusan untuk menunda pertandingan itu ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, tetapi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menjelaskan sama ada cadangan MFL itu sedang dipertimbangkan.