Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia sekali lagi ditangguhkan, ini alasan menteri

Piala Malaysia sekali lagi ditangguhkan, walaupun pusingan 16 baru sahaja berlangsung beberapa hari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menganggap sentuhan dalam perlawanan amat merbahaya, walaupun tiada satu kes mahupun kluster COVID-19 melibatkan pasukan yang bertanding Piala Malaysia.

“Minta maaflah kepada peminat-peminat bola sepak,” katanya dalam sidang media harian.

“Setelah dibentang oleh Kementerian Belia dan Sukan, KKM merasakan bahawa pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton, tetapi kerana ianya akan menyebabkan berlaku sentuhan dalam kalangan pemain.

“Mereka agak lebih merbahaya kerana berpeluh, basah dan persentuhan itu boleh dianggap merbahaya kepada keadaan biasa.”

“Kalau badminton walaupun ada pertandingan misalnya, tiada persentuhan, tapi kalau bola memang tidak boleh dielakkan untuk bersentuhan.”

Tambah Ismail, keputusan itu juga dibuat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir seluruh Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Setiap negeri dah ada PKPB kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis sahaja sedang negeri lain sudah ada dan kita tidak benarkan ada pertandingan, maka mesyuarat membuat keputusan bahawa untuk pertandingan Piala Malaysia, kita bersetuju untuk ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan nanti.

“Kepada peminat bola sepak minta bersabar, Insya-Allah, kita sama-sama mematuhi SOP, KKM sedang melakukan yang terbaik, frontliners sedang melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian ini melalui tindakan-tindakan pematuhan SOP.”

“Kalau kita dapat kurangkan dengan cepat kes yang berlaku, kita akan kembali seperti biasa dan pertandingan boleh diadakan tanpa penonton.”

Ini kali ketiga Piala Malaysia ditangguhkan, selepas ditunda pada 25 Okt dan 6 Nov.

Piala Malaysia tahun ini sedikit berbeza apabila menggunakan format kalah mati bermula dengan peringkat pusingan 16 terakhir.

Namun pusingan itu menjadi pusingan 15 terbaik, selepas Sabah tidak dibenarkan ke Semenanjung sekali gus dilarang menyertai Piala Malaysia.

Hasilnya, Kuala Lumpur mendapat Bye dan akan bertemu JDT di suku akhir dan pemenangnya akan bertemu dengan pemenang antara Pulau Pinang dan UiTM.

Satu lagi perlawanan suku akhir menyaksikan Terengganu bertemu Perak dan pemenangnya akan bertemu pemenang antara Selangor dan Kedah.