Liga Super Malaysia Berita

JDT rancang bina pusat latihan mega, stadium mini untuk akademi JDT

Seperti yang didedahkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini, JDT merancang mahu membina sebuah pusat latihan mega.

Tidak diketahui bila pembinaan itu akan siap sepenuhnya, namun kemungkinan kerja-kerja pembinaan pusat latihan akan bermula lewat tahun ini atau awal tahun depan.

Pembinaan pusat mega latihan itu juga akan menggantikan Padang Seri Gelam yang sudah menjadi pusat latihan JDT sejak 2013.

Menurut Johor Southern Tigers, pusat latihan baharu ini akan menempatkan semua pasukan, dari skuad senior hingga Akademi JDT.

Pusat latihan mega ini akan dibina bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri.

Pusat latihan ini juga akan mempunyai padang bola sepak ‘indoor’ bersaiz penuh.

Ini bermakna, setiap pasukan JDT bakal mempunyai dua padang latihan dan kemudahan fasiliti yang serba canggih.

Ketika ini, JDT mempunyai empat pasukan iaitu pasukan utama JDT yang bersaing di Liga Super, pasukan feeder JDTII di Liga Premier, JDTIII merupakan pasukan feeder kepada JDTII dan JDTIV yang merupakan pasukan terbentuk dari akademi JDT.

JDT juga mempunyai perancangan untuk membina stadium mini dengan kapasiti dibawah 5,000 tempat duduk untuk akademi JDT.

Ketika ini, akademi JDT mempunyai 3 venue latihan iaitu Padang Tapak Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, Padang Mawar di Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.

Ini akan meningkatkan lagi kualiti kemudahan di akademi JDT yang sebelum ini menerima anugerah Ahli Emas pertama bagi Piagam SupaRimau FAM atas usaha berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini.