Liga Super Malaysia Berita

Kerajaan Terengganu lancar program Mencari Safawi 2.0

Kerajaan negeri Terengganu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melancarkan Program Mencari Safawi 2.0 bagi mencari pemain berbakat sama seperti bintang bola sepak negara, Safawi Rasid.

Program itu merupakan satu kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dan NFDP yang akan bermula hujung tahun ini.

Ini memandangkan bakat Safawi ditemui sejak di peringkat sekolah lagi, malah sering mewakili negerinya dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Safawi menyertai JDT di usia 19 tahun, namun beliau berjaya membantu pasukannya meraih kejuaraan Liga Super empat kali berturut-turut dan dua kali juara Piala Malaysia selain mendapat pelbagai jenis anugerah individu.

Beliau kini melebarkan sayapnya di Eropah apabila menjadi pemain pinjaman JDT selama semusim di kelab Portugal, Portimonense SC.

“Kejayaan Safawi mendorong kita untuk mencungkil lebih ramai lagi pemain sehebat Safawi,” kata Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada Harian Metro.

“Kita yakin dengan program pembangunan yang tersusun dan kerjasama daripada semua sekolah di negeri ini dan pihak yang terlibat dalam pencarian bakat baharu, objektif untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sehebat Safawi akan tercapai.”

Siri jelajah di seluruh daerah Terengganu akan dilakukan untuk mencari 20 pemain berusia 12 tahun sebagai perintis untuk diserapkan masuk ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas yang juga bertindak sebagai Akademi Bolasepak Terengganu.

“Mereka akan mengikuti modul latihan secara sistematik yang dirangka panel kejurulatihan dan jawatankuasa program,” kata Wan Sukairi.