Luar Negara Berita

Luqman Hakim debut buat pertama kali dengan KV Kortrijk

Luqman Hakim Shamsudin akhirnya meraih debut sebagai pemain bola sepak profesional iaitu penampilan pertama bersama KV Kortrijk dalam perlawanan menentang Anderlecht dalam saingan Jupiler Pro League pagi tadi.

Beliau yang tersenarai dalam skuad utama di bawah kendalian ketua jurulatih Yves Vanderhaeghe tampil sebagai pemain simpanan.

KV Kortrijk bagaimanapun ketinggalan 2-0 apabila penyerang Anderlecht, Lukas Nmecha menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-6 dan disusuli dengan gol kedua yang dijaringkan oleh Percy Tau pada minit ke-30.

Nmecha sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-65, menjadikan kedudukan selesa 3-0 buat Anderlecht.

Vanderhaeghe membuat keputusan untuk memasukkan Luqman pada minit ke-74 dengan menggantikan pertahanan kanan, Petar Golubovic.

Ini sekali gus mengubah formasi pasukan kepada 5-4-1, dengan Luqman beraksi sebagai sayap kanan.

Pemain berusia 18 tahun itu menunjukkan aksi yang cukup bertenaga dan meyakinkan, sering mencipta peluang, beberapa kali merampas bola dari pihak lawan malah mengawal bola dengan baik.

Tekanan demi tekanan yang dilakukan oleh Luqman di sebelah kanan sayap pihak lawan akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menghantar bola kepada Julien De Sart yang dijatuhkan di kotak penalti, menghadiahkan sepakan penalti buat KV Kortrijk.

Penyerang KV Kortrijk, Ilombe Mboyo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86, menambah jaringan peribadinya kepada lima gol pada musim ini.

Walaupun penampilan pertama Luqman berakhir dengan kekalahan, namun ia pengalaman yang cukup berguna buat pemain muda, malah akan memberikan semangat kepadanya untuk terus menampilkan aksi terbaik.

Tidak mustahil, Luqman akan menjadi pemain kesebelasan utama KV Kortrijk pada musim ini.