Liga Super Malaysia Berita

Norizam kenal pasti pakar bisnes bantu kukuhkan kewangan Kelantan FC

Individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan akan membarisi struktur pentadbiran pasukan Kelantan FC untuk mengukuhkan ‘kantung’ kewangan pasukan itu, dalam menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan serta musim berikutnya.

Pengurus Operasi Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Jamilulail Jamiludin berkata, kaedah itu bakal dilakukan selari dengan kemahuan pemilik pasukan Norizam Tukiman, iaitu selaras dengan konsep penswastaan pasukan.

“Individu yang akan membarisi pentadbiran pasukan Kelantan FC sudah dikenal pasti oleh Norizam dan pihaknya yakin individu itu mampu membantu pasukan, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan kewangan TRW Sdn.Bhd selepas ini dan Kelantan FC,” katanya kepada Bernama.

Jamilulail berkata, perkara ini turut menjadi penambahbaikan baharu yang mahu dilakukan pemilik pasukan, bagi mengembalikan kecemerlangan imej pasukan tersebut di pentas bola sepak negara.

Selain itu, Jamilulail berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa lokasi terbaik untuk dibangunkan sebagai pusat latihan kepada pasukan itu.

“Pusat latihan merupakan perkara utama yang dititik beratkan oleh pemilik Kelantan FC dan kami berharap perkara ini dapat direalisasikan secepat mungkin, bagi memastikan perjalanan Kelantan FC lebih baik selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Kelantan FC dan KAFA telah berpisah, apabila berlaku penswastaan pasukan pada saingan Liga M musim depan.

“Kami akui ramai penyokong yang masih keliru dengan isu penswastaan, di mana mereka beranggapan Kelantan FC masih mempunyai hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Kelantan FC dan KAFA masing-masing sudah menjadi entiti yang berbeza, selepas ini penyokong tidak lagi keliru peranan yang dimainkan oleh Kelantan FC dan KAFA,” katanya.

Kelantan The Red Warriors (TRW) ketika ini diuruskan sepenuhnya oleh TRW Sdn Bhd, apabila Norizam membeli 100 peratus saham syarikat itu daripada KAFA pada September lalu.