Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin bangga dengan Kedah, di sebalik krisis pasukan musim ini

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak memuji karakter semua pemainnya yang mampu bangkit daripada tekanan sebelum meraih tiga mata yang cukup berharga di Stadium Perak, Ipoh bagi membawa Kedah meraih kedudukan naib juara CIMB Liga Super serta slot ke Piala AFC 2021.

Walaupun tuan rumah, Perak menyamakan kedudukan 2-2 sebelum separuh masa pertama berakhir, Aidil kagum melihat pemain-pemain Kedah tidak terkesan dengan semangat juang dipamerkan oleh lawan sebaliknya berjaya meraih gol ketiga menerusi Renan Alves pada minit-63 sekali gus jaringan kemenangan pada aksi minggu ke-11 CIMB Liga Super.

Menurut Aidil, semasa di bilik persalinan iaitu sebelum bermulanya babak kedua, pemain-pemain juga telah diingatkan sesama sendiri agar jangan sesekali tunduk mengalah sekiranya mahu merasai pengalaman bermain di pentas Asia.

“Semua pemain kena saya bagikan kredit kerana hari ini, saya jelas nampak kesungguhan mereka hendak menang dan mentaliti mereka cukup kuat walaupun ada satu ketika Perak tampilkan semangat juang yang hebat untuk bangkit.

“Sebaik kami berjumpa di bilik persalinan, bukan saya sahaja berikan kata-kata semangat tetapi dalam kalangan pemain, mereka tahu ini adalah sesuatu yang mereka inginkan sejak beberapa tahun lalu dan sudah lama rasanya Kedah berjaya menamatkan saingan liga di tangga kedua.

“Bagi saya secara peribadi, ini adalah sesuatu yang begitu menggembirakan kerana sebelum ini saya membawa Kedah ke play-off ACL (Liga Juara-juara Asia) dan tahun ini, kami akan ke Piala AFC pada musim depan.

“Hati saya kini dalam 80 ke 90 peratus masih bersama Kedah (musim depan) kerana saya suka segala-galanya di sini cuma saya akan buat keputusan selepas berjumpa dengan pihak pengurusan sebaik tahu apa hala tuju serta visi Kedah di masa depan,” katanya.