Liga Super Malaysia Berita

Ifedayo Olusegun: Malaysia bertuah ada Shahrel Fikri

Walaupun menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai penjaring terbanyak, Ifedayo Olusegun tetap memberikan pujian kepada Shahrel Fikri.

Penyerang Selangor itu menganggap Shahrel merupakan penyerang tempatan yang berkualiti dan layak mewakili negara.

“Dia sememangnya pemain yang hebat,” katanya kepada Astro Arena.

“Saya melihat permainannya dan posisinya untuk mendapatkan gol sememangnya amat hebat.

“Saya fikir Malaysia perlu berasa bertuah kerana mempunyai pemain seperti itu, yang mempunyai kebijaksanaan di depan gol.”

Ifedayo mencipta hatrik ketika pasukannya menewaskan Felda United 6-1 dalam perlawanan terakhir liga.

Secara keseluruhan, penyerang dari Nigeria itu telah menjaringkan sebanyak 12 gol daripada 11 perlawanan musim ini.

Shahrel pula berpeluang untuk menambahkan koleksi jaringannya ketika berdepan Kedah semalam, namun gagal berbuat demikian apabila Perak tumpas 3-2 di Ipoh.

Bagaimanapun, Ifedayo berpendapat Shahrel layak diberikan pengiktirafan.

“Bagi saya, jika dia tidak dapat memamatkan musim selaku penjaring terbanyak, dia layak menerima satu pengiktirafan sebagai seorang pemain tempatan yang mampu melakukan sejauh itu. Ia amat-amat menakjubkan.”