FAM baru sahaja mengesahkan bahawa kesemua 21 pasukan telah berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.
Ini termasuk 9 pasukan yang sebelum ini masih dalam proses seminggu sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020.
Pasukan-pasukan ini adalah Selangor FA, Kelantan FA, Pahang FA, Pulau Pinang FA, Kedah FA, UiTM FC, PDRM FA, Felda United FC dan UKM FC.
Proses penswastaan ini perlu dilakukan supaya mereka dibenarkan beraksi pada saingan peringkat AFC, sama ada Liga Juara-Juara AFC 2021 atau Piala AFC 2021, jika layak.
Antara 7 langkah untuk penswastaan yang telah dikenal pasti dan perlu dilakukan setiap pasukan adalah mendapatkan:
1. Prakelulusan (surat tiada bantahan dan sokongan) daripada FA
2. Pendaftaran syarikat di bawah SSM
3. Pendaftaran nama & logo kelab dengan MYIPO
4. Pendaftaran Lesen PJS (tidak diperlukan lagi)
5. Menandatangani kontrak tugasan di antara FA dan FC
6. Mendapatkan pengesahan dan kelulusan bertulis daripada FA
7. Mendapatkan surat kelulusan daripada FAM serta AFC
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed mengingatkan kepada semua pasukan bahawa proses dokumentasi penswastaan serta pemisahan dari FA ke FC ini hanyalah baru fasa pertama.
Bagi fasa kedua, kesemua pasukan diminta untuk menghantar kedua-dua carta organisasi pengurusan bagi FA dan FC masing-masing, beserta kurikulum vitae (CV) setiap individu yang terlibat selewat-lewatnya pada 30 November 2020.
“Ini bagi memastikan pemisahan pengurusan dapat dilaksanakan sepenuhnya yang mana barisan pengurusan FA dan FC mereka itu perlu diisi oleh individu berbeza.
“Perjalanan penswastaan FC ini masih panjang sebenarnya dengan banyak lagi langkah-langkah atau proses yang perlu dijalani oleh setiap pasukan ini bagi memastikan industri bola sepak negara diswastakan sepenuhnya,” katanya.
Firdaus juga berkata, Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM akan mengambil peranan baharu selepas ini dengan memantau prestasi dan seterusnya dalam pemerkasaan kelab bolasepak.
“Untuk itu, pihak sekretariat FAM telah menyediakan perancangan bagi mengadakan beberapa program yang akan bermula pada awal 2021 nanti dalam memperkasakan lagi penswastaan setiap FC ini.
“Antaranya ialah Bengkel Ketua Pegawai Eksekutif, Bengkel Operasi Kelab, Sidang Kemuncak Pengarah Teknikal, Bengkel Perundangan, Bengkel Pemasaran Kelab, Bengkel Keselamatan serta Bengkel Infrastruktur & Stadium.”