Liga Super Malaysia Berita

Mengapa Kedah dan 8 pasukan Liga Malaysia ini dapat lesen bersyarat

FAM telah meluluskan permohonan dan memberikan lesen kebangsaan kepada 13 pasukan untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

10 pasukan Liga Super adalah Felda United FC, UiTM FC, Johor Darul Ta’zim FC, Kedah FA, PDRM FA, Perak FA, Petaling Jaya City FC, Sabah FA, Selangor FA dan Terengganu FC.

Manakala tiga lagi pasukan adalah dari Liga Premier iaitu Kelantan United FC, Kuala Lumpur FA dan Negeri Sembilan FA.

Namun dua pasukan Liga Super iaitu Pahang FA dan Melaka FA diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat.

Lima lagi pasukan adalah dari Liga Premier iaitu Kuching FA, Kelantan FA, UKM FC, Pulau Pinang FA dan Sarawak United FC.

Kedah walaupun diberikan lesen kebangsaan, tetap berdepan dengan risiko penarikan lesen.

Ini disebabkan kriteria berkaitan kewangan sering kali menimbulkan persoalan apabila sesebuah pasukan yang diketahui umum mempunyai masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai, atau tunggakan berkaitan KWSP, LHDN dan PERKESO masih tetap diberikan lesen kelab secara penuh atau bersyarat oleh FAM.

Berikut merupakan sebab-sebab 9 pasukan ini diberikan lesen atau lesen bersyarat.

1. KEDAH FA

i) Biarpun Kedah masih mempunyai tunggakan gaji selama empat bulan iaitu Mei, Jun, Julai dan Ogos, mereka telah mengemukakan surat persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai yang disertakan jadual pembayaran ansuran bagi tunggakan gaji tersebut.

ii) Berdasarkan persetujuan daripada pemain dan pegawai tersebut, FAM telah memberikan kelulusan lesen kelab tetapi jika pembayaran ansuran tersebut didapati tidak dibuat mengikut jadual yang ditetapkan, di antara tindakan yang boleh diambil termasuk penarikan balik lesen dan pemotongan mata.

2. PDRM

i) Biarpun PDRM masih mempunyai tunggakan pembayaran kepada pemain dan pegawai pada awal tahun, mereka telah berjaya menyelesaikannya sebelum penghujung Februari 2020 selepas dikenakan hukuman pemotongan tiga mata CIMB Liga Super 2020 pada 3 Februari 2020.

ii) Ia salah satu impak daripada tindakan FAM mewajibkan semua pasukan menghantar Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) pada hujung tahun lalu bagi mengisytiharkan jika mereka mempunyai sebarang bayaran tertunggak dan pelan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

3. MELAKA FA

i) Surat balas daripada LHDN berkenaan permohonan Melaka untuk membayar tunggakan secara ansuran didapati tidak jelas. Walaupun LHDN memaklumkan mereka telah menerima surat daripada Melaka tetapi ia tidak memberitahu sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan permohonan daripada Melaka itu.

ii) Melaka yang mempunyai tunggakan gaji dengan pemain dan pegawai pada awal tahun bagaimanapun telah berjaya menyelesaikan semua tunggakan tersebut sehingga 30 September 2020. Ini juga impak daripada tindakan mewajibkan pengisytiharan SD yang mana Melaka telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata CIMB Liga Super 2020 pada 20 Mac 2020 atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

4. PAHANG FA

i) Surat permohonan kepada LHDN, KWSP dan Perkeso untuk menjelaskan bayaran tunggakan telah diterima oleh badan-badan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat maklumat dalam surat Pahang kepada badan-badan tersebut yang tidak dimasukkan dan ini memerlukan penjelasan yang lebih lanjut daripada Pahang.

5. KELANTAN FA

i) Pada permulaan tahun 2020, Kelantan merekodkan sebanyak 18 kes gaji tertunggak dengan jumlah lebih RM4 juta.

ii) Namun terkini, hanya tinggal berbaki tiga kes tunggakan gaji yang masih belum selesai atau sedang dalam proses, sekali gus menyaksikan kes-kes lama sejak tahun 2017 telah pun berjaya diselesaikan oleh Kelantan. Juga di antara kes-kes berikut, persetujuan bersama telah dibuat dan bukti persetujuan bersama ini telah diserahkan untuk pelesenan kelab sebelum tarikh akhir iaitu 30 September 2020.

iii) Selain itu, menerusi tindakan mewajibkan pengisytiharan SD, sebanyak 121 kes tunggakan pembayaran juga berjaya diselesaikan oleh Kelantan selepas mereka juga telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata Liga Premier 2020 pada 3 Ogos 2020 atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

6. KUCHING FA

i) Laporan audit memerlukan maklumat untuk pengesahan daripada FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mematuhi sepenuhnya keperluan kriteria tersebut.

7. UKM FC

i) Surat kepada badan-badan LHDN dan KWSP memerlukan maklumat lanjut untuk memenuhi syarat dalam kriteria tersebut.

8. PULAU PINANG FA

i) Laporan audit memerlukan maklumat untuk pengesahan daripada FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mematuhi sepenuhnya keperluan kriteria tersebut.

9. SARAWAK UNITED FC

i) Proses menyediakan laporan audit dan interim tidak teratur. Pihak FIB Pelesenan Kelab FAM memberi cadangan untuk menyiapkan laporan audit dan interim seperti kemahuan mereka bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

LESEN KELAB

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2020, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam (6) kriteria utama iaitu;

1. Kesukanan

2. Infrastruktur

3. Pegawai dan Pentadbiran

4. Perundangan

5. Kewangan

6. Perniagaan

Kesemua 7 pasukan yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan itu sebelum atau pada 31 Oktober 2020.

Sekiranya pasukan-pasukan yang diberi lesen yang bersyarat dari CIMB Liga Super dan Liga Premier gagal melengkapkan keperluan sebelum atau pada 31 Oktober 2020, FIB menpunyai kuasa untuk mengambil tindakan seterusnya yang boleh terdiri daripada denda, pemotongan mata, penurunan liga dan mungkin juga lesen boleh ditarik balik.

Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2021 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2020 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.