Selangor membuat kejutan apabila menewaskan pasukan yang sudah tersingkir, PDRM 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Ia adalah kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh Selangor selepas B Sathiananthan dipecat sebagai jurulatih pasukan.
Selangor mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi gol daripada Ifedayo Olusegun pada minit ke-19 dan dua gol daripada Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan ke-33.
26' | GOL SEAN! @FASelangorMy menggandakan kedudukan menerusi Sean Selvaraj. #CIMBLigaSuper2020#PDRMSEL#MFLLive pic.twitter.com/urb4vVxKVF
— MFL LIVE (@MFL_Live) October 3, 2020
The Red Giants terus unggul pada separuh masa kedua apabila menambah empat lagi jaringan menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (minit ke-74), Safuwan Baharudin pada minit ke-80 serta penyerang pasukan Rufino Segovia pada minit ke-83.
Ironinya, sepanjang Sathia mengendalikan pasukan musim ini, Selangor hanya dapat menjaringkan 10 gol dalam 8 perlawanan. Tetapi selepas Sathia dipecat, Selangor sudah menjaringkan 10 gol dalam hanya dua perlawanan.
Bagaimanapun, ia hanyalah kemenangan ketiga yang diraih Selangor dan kini berada di tangga ke-5 dalam Liga Super dengan mengumpul 14 mata selepas 10 perlawanan.
Selangor akan menamatkan saingan liga menentang Felda United pada 10 Oktober ini.