Liga Super Malaysia Berita

Kedah lengkapkan penswastaan kelab, layak beraksi di Liga Super musim depan

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan bahawa FAM telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan pasukannya berhubung proses penswastaan kelab.

Menurut akaun Facebook rasmi FA Kedah, pasukan itu sudah melengkapkan proses penswastaan kelab merangkumi pemisahan dari persatuan bolasepak (FA) ke status kelab bolasepak (FC).

“Semalam, FAM telah mengesahkan lima lagi pasukan Liga Malaysia berjaya melengkapkan dokumentasi penswastaan kelab termasuklah Kedah FA,” katanya.

“Kelulusan ini melayakkan Kedah untuk beraksi dalam Liga Malaysia tahun hadapan tertakluk kepada perlesenan kelab FAM.

“Setinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu KFA untuk melengkapkan proses penswastaan Kelab Bolasepak (FC) terutamanya pihak pentadbiran KFA dan pihak berkanun dalam memudahkan segala proses permohonan kelulusan ini.”

Walaupun belum ada pengesahan rasmi dari FAM, ia satu perkembangan positif buat Kedah selepas terpalit dengan isu tunggakan gaji sepanjang musim ini.

Ini bermakna, Kedah berjaya menyelesaikan proses penswastaan dan pelesenan kelab sebelum 30 Sept.