Liga Super Malaysia Berita

Sumareh akui teruja dapat beraksi di Thailand, namun hanya untuk enam bulan

Mohamadou Sumareh teruja beraksi di luar negara buat pertama kali dalam kariernya.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu mengakui penghijrahannya ke Thailand hanya untuk sementara waktu memandangkan beliau menandatangani kontrak selama enam bulan sahaja dengan Police Tero.

“Saya gembira kerana ini kali pertama saya bermain di luar Malaysia,” katanya kepada Astro Arena.

“Ini liga yang berbeza, jadi saya teruja untuk melihat apa yang akan menanti saya.

“Mungkin saya akan berada selama enam bulan di sana untuk bermain separuh musim.”

Bagaimanapun, Sumareh tidak menolak akan kemungkinan untuk terus kekal lebih lama di Thailand.

“Perancangannya adalah untuk berada di sana selama enam bulan tetapi kita tidak tahu, tiada siapa yang tahu. Jika segala-galanya berjalan baik, mungkin saya akan kekal di sana.

“Saya tidak boleh meramal masa depan. Buat masa ini, saya hanya menandatangani untuk jangka pendek selama enam bulan.

“Jika segala-galanya baik, saya mungkin akan berada di sana hingga penghujung musim. Saya tidak boleh duduk sahaja dan tunggu sehingga musim depan, kemudian bermula sebagai seorang pemain yang ketinggalan.

“Jadi, dengan perpindahan ke Liga Thailand sedang terbuka ketika ini, saya mahu mengambil peluang ini dan kekal cergas supaya apabila saya kembali ke Malaysia, saya hanya perlu meneruskannya dengan pasukan yang saya sendiri belum tahu. Oleh kerana itu saya menyertai Liga Thailand.”

Sumareh bagaimanapun enggan mengulas pasukan Liga Malaysia yang beliau akan sertai pada musim depan.

“Buat masa ini, saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara ini. Fokus saya ketika ini adalah sedang teruja untuk ke Liga Thailand.

“Saya mahu memulakan perjalanan baru, jadi tidak ada apa untuk saya katakan ketika ini.”