Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Liga Super: JDT jaringkan enam gol, buktikan Selangor masih jauh ketinggalan

Tiada siapa sangka perlawanan Liga Super antara JDT dan Selangor akan berakhir dengan keputusan 6-1.

Padahal, Selangor berjaya mengekang segala asakan dan menyerap tekanan yang dilakukan oleh JDT sepanjang separuh masa pertama.

Namun, pada minit-minit terakhir sebelum wisel penamat separuh masa, Safawi Rasid akhirnya berjaya menembusi gawang lawan menerusi tendangan percuma.

Jaringan itu dan kehilangan Safuwan Baharudin di bahagian tengah jentera Selangor pada separuh masa kedua seolah-olah merentap semangat pasukan Red Giants dan mereka hilang arah.

Malah, tidak sampai lima minit separuh masa kedua bermula, Safawi sekali lagi menjaringkan gol menerusi tendangan penalti pada minit ke-49.

Diogo kemudian menjaringkan gol ketiga buat JDT apabila melambungkan bola yang terus menjunam ke gawang gol Selangor.

JDT mengambil kesempatan di atas kelalaian pertahanan Selangor dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-67.

Pemain muda JDT, Ramadhan Saifullah menambah gol kelima pada minit ke-72 selepas bola gagal ditangkap kemas oleh Farizal Harun.

Ramadhan melengkapkan aksi cemerlang dirinya dengan menjaringkan gol keenam buat JDT.

Selangor mendapat gol saguhati menerusi jaringan Rufino Segovia pada minit ke-81.

JDT semakin kukuh di tangga teratas liga dengan mengumpul 22 mata daripada lapan perlawanan.