Liga Super Malaysia Berita

Ong Kim Swee: Safawi sudah bersedia beraksi di Eropah

Ong Kim Swee yakin bahawa Safawi Rasid sudah bersedia untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi, iaitu di liga Eropah.

Ini selepas pemain JDT itu menerima tawaran dari kelab Portugal, Portimonense SC dan dijangka berhijrah selepas saingan Liga Super tamat pada bulan Oktober nanti.

Ong yang pernah meramal bahawa Safawi akan beraksi di Eropah beberapa tahun lepas, menganggap tawaran itu itu hadir tepat pada masanya.

“Sebelum ini lagi beliau telah dikaitkan dengan beberapa tawaran dari luar negara,” katanya kepada Bernama.

“Sememangnya beliau layak menerimanya, dengan pengalaman luas bersama JDT dan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, beliau telah bersedia untuk cabaran baharu.

“Beliau memiliki kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja kerana keyakinan yang ada pada beliau, selain sikap tidak cepat berputus asa. Teknik dan kemampuan fizikal beliau pula kita tahu antara yang terbaik di Asia, jadi soal mampu atau tidak itu bukan lagi persoalannya.”

Ong yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM juga berpandangan bahawa Safawi tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri di Eropah.

“Setiap pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu dan sudah pasti terdapat perbezaan yang ketara dari segi budaya antara negara kita dan di Eropah, tetapi dengan pengalaman dan keyakinan yang ada, ia bukan satu masalah bagi beliau.

“Saya percaya JDT juga akan memastikan hanya yang terbaik buat Safawi, selepas mereka telah bertanggungjawab membentuk beliau sehingga menjadi antara pemain paling berpotensi di negara.”