Liga Super Malaysia Berita

Batalkan saingan liga bukan penyelesaian

Saingan Liga Malaysia 2020 wajar diteruskan demi memastikan ‘periuk nasi’ pemain tidak terjejas di samping membantu perancangan skuad kebangsaan yang akan bersaing di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Perkara ini disuarakan Setiausaha Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur ( KLFA), Nokman Mustaffa, yang menjadikan kebajikan pemain sebagai aspek utama terhadap kewajaran Liga Malaysia tidak perlu dibatalkan.

Biarpun tidak menafikan realiti kewangan sedikit meruncing yang dialami kebanyakan pengurusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berpandangan perkara itu menuntut kebijaksanaan persatuan dalam menangani masalah berkenaan.

“Liga mesti diteruskan kerana kita mesti kasihan kepada pemain, jika tidak bagaimana mereka mahu menyara hidup tanpa gaji?

“Walaupun apa jua masalah dihadapi oleh pasukan, setiap pengurusan perlu cuba sedaya upaya fikirkan langkah alternatif menampung masalah kewangan jika penaja menarik diri.

“Tambahan ketiadaan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini yang dibatalkan, sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan untuk pasukan utama.

“Dalam masa sama, jika Liga Malaysia diteruskan, kita akan membantu pemain dalam pasukan kebangsaan bagi kecergasan untuk beraksi 90 minit permainan sebelum ke pentas antarabangsa,” katanya.

Turut sependapat dengan Nokman ialah pemain berpengalaman, Shukor Adan yang berasakan sebarang cadangan untuk membatalkan saingan Liga Malaysia sebagai sesuatu yang tidak masuk akal ketika Liga Malaysia hanya tinggal 3 minggu sahaja lagi bakal bersambung.

Jelasnya, selaku pemain yang telah melalui asam garam Liga Malaysia, beliau melihat mana-mana pengurusan yang mengharapkan liga ini dibatalkan sebagai seorang yang cuba lari daripada masalah.

“Saya sendiri tidak nampak kenapa saingan liga ini perlu dibatalkan dan jika isu kewangan ditimbulkan, adakah masalah itu tidak pernah ada sebelum adanya penularan wabak COVID-19 ini?

“Jangan jadikan impak wabak ini sebagai alasan mudah untuk melarikan diri daripada membayar gaji pemain dan hormati kontrak mereka.

“Lagi satu, cadangan ini tidak adil kepada pasukan lain yang telah bekerja keras sejak latihan fasa 1 dibenarkan dan tiba-tiba mahu liga kita dibatalkan hanya kerana masalah pasukan tertentu sahaja,” katanya.