Liga Super Malaysia Berita

FAM mahu masalah tunggakan gaji pasukan berakhir musim ini

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata mana-mana pasukan Liga Malaysia yang masih tidak menyelesaikan tunggakan gaji musim ini tidak akan dibenarkan beraksi pada musim depan.

Ini selepas pasukan Kelantan dan Melaka menghadapi isu tunggakan gaji yang serius sehingga dipotong mata manakala Kedah gagal membayar tunggakan gaji selama lima bulan.

Malah, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan meneliti status kewangan kesemua 24 pasukan sebelum lesen kebangsaan diberikan kepada mereka.

Tunggakan gaji juga melibatkan tunggakan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sekiranya sesebuah pasukan itu masih ada hutang yang belum diselesaikan pada tahun ini, ia akan beri kesukaran kepada mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama.

Stuart juga menegaskan FAM tidak akan melanjutkan tempoh permohonan proses pemisahan persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak yang akan berakhir pada bulan hadapan.

Setakat ini, hanya empat pasukan telah melengkapkan proses penswastaan kelab, manakala 12 pasukan lagi sedang melaksanakan proses pemisahan status FA kepada FC.