Liga Super Malaysia Berita

Akademi JDT diiktiraf

Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima anugerah Ahli Emas pertama bagi Piagam SupaRimau FAM atas usaha berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini.

Ini menjadikan Akademi JDT sebagai akademi pertama di Malaysia yang dianugerahkan dengan keahlian emas Piagam SupaRimau FAM.

Pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan penilaian terhadap lima kriteria utama, iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan dan pendidikan bagi meningkatkan standard semua akademi bola sepak dan kualiti program.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap akademi JDT telah merangkumi kesemua aspek-aspek itu dengan jayanya.

“FAM menghargai usaha berterusan JDT dalam mempromosikan dan membangunkan pemain bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana menjadi akademi pertama yang dianugerahkan keahlian emas.”

Berikut merupakan penilaian yang dibuat oleh FAM:

Kepimpinan

Akademi JDT adalah sebuah realisasi oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor untuk mewujudkan akademi terbaik di Malaysia bagi menghasilkan pemain berkualiti bertaraf antarabangsa.

Akademi ini diselia oleh Pengarah Teknikal, Alistair Edwards dengan bantuan daripada Pengurus Pembangunan K. Sukumaran dan pasukan mereka yang terdiri dari Pengarah Akademi, Pegawai Perhubungan Akademi, Ketua Pencarian Bakat, Ketua Kecergasan, Ketua Fisiologi, dan Penyelaras untuk kumpulan pemain dengan umur yang berbeza, dan lain-lain.

Perancangan

Dengan visi dan misi yang jelas, Akademi JDT telah merencanakan rancangan yang luas dan terperinci untuk semua pemain-pemain muda mereka.

Ibu bapa pemain-pemain muda ini bukan sahaja telah diterangkan dengan laluan perjalanan pemain malahan dengan falsalah Akademi JDT yang turut memberikan pendidikan penuh dan intensif untuk semua pemain muda.

Kemudahan

Akademi JDT mempunyai 3 venue latihan: Padang Tapak Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, Padang Mawar di Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.

Venue-venue ini juga dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan terkini untuk menyediakan pemain-pemain muda persekitaran yang selamat untuk berlatih dan sering digunakan untuk perlawanan persahabatan / pertandingan kompetitif.

Pertandingan Akar Umbi

Bagi mengembangkan bakat pemain-pemain muda ini, Akademi JDT kerap kali memberikan pendedahan kepada semua pemain di setiap peringkat umur ke pertandingan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Sebagai tambahan kepada pertandingan ini, pemain dari setiap kumpulan umur didedahkan kepada sekurangnya minimum 15 perlawanan persahabatan setiap tahun.

Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu mempercepatkan perkembangan pemain-pemain kerana mereka memperolehi lebih banyak pengalaman pertandingan.

Pendidikan

Bagi mendekatkan hubungan dengan komuniti dan orang awam, Akademi JDT mengadakan banyak aktiviti lain selain daripada bola sepak akar umbi seperti ceramah motivasi, kelas bahasa, kursus bimbingan dan banyak lagi.