Liga Super Malaysia Berita

Presiden Kedah janji selesai tunggakan gaji mula bulan Ogos

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji secara berperingkat mulai bulan Ogos ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat eksekutif KFA kali ke-8 penggal 2018-2022.

Presiden KFA, Sanusi Mohd Nor berkata perkara pertama yang akan dilakukan adalah membayar tunggakan gaji bagi bulan Mac yang akan diselesaikan sebelum 15 Ogos.

“Tunggakan bulan April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan penyelesaian setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

“Satu Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan 4 bulan tersebut akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini.”

Dalam mesyuarat tersebut, Sanusi berkata KFA akan memperkemaskan kedudukan kewangan dengan memperkukuhkan penajaan dengan mengemaskini status penajaan dengan penaja-penaja KFA musim 2020.

Ini selepas beliau mendedahkan bahawa KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020, malah menanggung jumlah tunggakan KWSP dan LHDN sebanyak RM3.8 juta.

“Punca masalah dana penajaan tertunggak adalah pelaksanaan tanggungjawab secara ’one man show’ dalam penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

“Tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan adalah bagi mengatasi beban hutang sejak September 2019.

“Jawatankuasa Khas Kewangan akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu, malah semua fungsi ahli Jawatankuasa Eksekutif diberi peranan lebih besar untuk memikul tanggungjawab mengurus dan meneroka kaedah membawa penajaan baharu.”

Selain itu, KFA juga bersetuju untuk mengekalkan pengurusan pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat musim Liga Malaysia 2020.

“Jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula,” kata Sanusi.

“Ketika ini pasukan terdiri dari 48 individu dalam kalangan pemain dan pegawai dalam pasukan yang akan menjurus peningkatan bajet pasukan.”