Liga Super Malaysia Berita

Empat pasukan ada hutang dengan LHDN, KWSP dan Perkeso

FAM mengumumkan sebanyak empat pasukan masih gagal menyelesaikan bayaran untuk badan percukaian LHDN, badan caruman wang saraan KWSP dan badan caruman pekerja iaitu Perkeso.

Dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, ia melibatkan pasukan dari Persatuan Bolasepak Melaka, Persatuan Bolasepak PDRM, Persatuan Bolasepak Sarawak dan Persatuan Bolasepak Kelantan.

Sarawak hanya mempunyai tunggakan hutang dengan LHDN.

Namun Kelantan, PDRM dan Melaka mempunyai tunggakan hutang LHDN, KWSP dan Perkeso.

Mengikut Peraturan Pelesenan Kelab FAM, tunggakan hutang-hutang dengan LHDN, KWSP dan Perkeso mesti diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Ogos.

Jika gagal, pasukanpasukan itu akan berdepan penilaian FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi musim 2021.

“Untuk itu, FAM sekali lagi menasihatkan dan pada masa yang sama memberi amaran kepada pasukan-pasukan ini supaya bersikap serius dalam menyelesaikan pembayaran ansuran tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai serta tunggakan hutang kepada LHDN, KWSP dan Perkeso ini mengikut tarikh yang ditetapkan,” menurut FAM dalam kenyataan.