Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA dipotong tiga mata

FAM akhirnya membuat keputusan untuk mengenakan pemotongan tiga mata kepada Kelantan FA bagi saingan Liga Premier 2020 musim ini.

Pemotongan mata itu bermakna Kelantan yang meraih 4 mata sebelum ini, kini tinggal 1 mata sahaja, berkongsi dengan Kuching FA dan Perak II yang berada di dua kedudukan terakhir dalam liga.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM setelah pasukan Pantai Timur itu gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Pada awalnya, Kelantan berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada 31 Januari 2020 dan 29 Februari lalu.

Bagaimanapun, Kelantan gagal menyelesaikan tunggakan pada 30 April dan sepatutnya dikenakan tindakan pemotongan tiga mata.

Namun, setelah mengambil kira situasi semasa akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM melanjutkan tempoh kepada Kelantan sehingga 30 Julai.

Kelantan tetap gagal membayar tunggakan pada tarikh tersebut, malah meminta kelonggaran dan lanjutan masa sehingga tamat musim 2020.

FIB Pelesenan Kelab FAM tidak melayan permintaan tersebut dan kekal dengan keputusan bahawa Kelantan perlu menyelesaikan tunggakan selewat-lewatnya 30 Julai.

“Oleh itu, Kelantan telah didapati gagal untuk menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata,” kata Stuart dalam kenyataan.

“FAM akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Premier iaitu Malaysian Football League (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga mata berkenaan.”

FIB Pelesenan Kelab FAM memberikan tempoh sehingga 31 Ogos kepada pasukan Kelantan untuk mengemukakan penyelesaian tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Sekiranya Kelantan gagal menyelesaikannya, mereka mungkin tidak akan mendapat lesen kelab untuk bersaing di Liga Malaysia musim 2021.