Liga Super Malaysia Berita

Tunggakan gaji Kedah: Jurulatih, pemain senior bantu pemain dalam kesusahan

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui beliau dan beberapa pemain senior pasukannya bertindak menghulurkan duit kepada pemain yang dalam kesusahan.

Ini selepas pemain Kedah tidak menerima bayaran gaji sejak bulan Februari lalu.

Ia jelas memberi kesan kepada pemain yang menerima bayaran gaji yang rendah, sehingga ada yang berisiko dihalau keluar dari rumah sewa.

Bagaimanapun, Aidil memuji tindakan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar serta Zaquan Adha dan Azamuddin Akil kerana sudi membantu rakan sepasukan yang dalam kesesakan wang.

“Banyak faktor yang kami hadapi,” kata Aidil kepada Astro Arena.

“Kalau dilihat daripada segi angkanya itu memang membimbangkan, lima bulan tanpa gaji bukan perkara yang mudah.

“Pemain juga ada masalah keluarga masing-masing. Dua daripada pemain saya akan menyambut cahaya mata dan memerlukan wang.

“Pemain yang datang dari luar Kedah juga kasihan kerana lebih banyak wang yang perlu dikeluarkan.

“Dengan penularan COVID-19, tuan rumah sewa juga berasa risau dengan situasi kem Kedah ini.

Bagaimanapun, Aidil tetap mahu memastikan para pemainnya tidak patah semangat.

“Sebagai bapa dalam pasukan ini, saya hanya buat yang terbaik untuk pasukan.

“Apa yang penting, saya mahu mereka turun berlatih dengan keadaan 100 peratus.

“Pemain senior seperti Baddrol dan Zaquan juga banyak menghulurkan bantuan terhadap keperluan pemain muda.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pemain senior yang bagus seperti Baddrol, Zaquan dan Azamuddin.”

Bagaimanapun, Aidil mengakui beliau belum pasti sama ada akan kekal di Kedah pada musim depan.

“Kontrak saya akan tamat hujung tahun ini dan kami perlu tunggu apakah kesudahannya termasuk hala tuju saya pada tahun depan.”