Malaysia Berita

Khalid Jamlus ditawarkan tempat di AMD

Khalid Jamlus mendedahkan dia mendapat tawaran sebagai jurulatih di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran itu ataupun tidak.

“Saya diberi tawaran oleh Datuk Shapawi untuk ke Pahang,” katanya kepada Harian Metro.

“Tetapi saya masih fikirkan kerana dulu saya kerap tinggalkan anak dan isteri selama dua ke tiga tahun untuk bermain bola.

“Bila dah usia begini, saya perlu fikirkan secara mendalam kerana saya tak mahu lagi berjauhan dengan mereka. Mungkin pilihan yang lebih baik, saya harap ada pasukan di Lembah Klang agar dekat dengan keluarga.”

Pada masa sama, Khalid merancang untuk mengambil kursus kejurulatihan lesen A dalam masa terdekat.

“Tumpuan sekarang adalah nak ambil dulu lesen A. Lagipun, Datuk Shapawi kata kalau saya terima jawatan itu, kena ada lesen A juga walaupun saya sudah ada lesen B.

“Jadi saya akan fokus kepada kursus jurulatih buat masa ini dan nama pun saya dah daftar cuma tunggu sahaja untuk ikutinya.

“Selepas itu, tahun depan kita tengok macam mana, kalau dapat pasukan yang dekat lagi baik.”