Liga Super Malaysia Berita

Presiden baharu Kedah FA mahu syarikat swasta kendalikan pasukan

Walaupun baru sahaja menjadi presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor berhasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat swasta yang akan menguruskan pasukan bolasepak negeri itu.

Ini selepas FAM menetapkan bahawa semua pasukan beraksi di CIMB Liga Super dan Liga Premier diwajibkan menubuhkan kelab bolasepak (FC) bagi pelan pemisahan FA ke FC melalui pelan digariskan FAM.

Ini bermakna semua pasukan bola sepak yang bersaing di Liga Malaysia perlu diuruskan secara swasta serta memenuhi syarat ditetapkan FAM dan AFC.

Kata Sanusi, persatuan negeri akan merangka model syarikat berteraskan bola sepak bagi memenuhi syarat AFC.

Namun, beliau berkata perkara itu akan diteliti secara terperinci dengan FAM.

“Bagaimanapun kita akan mendapatkan gambaran lengkap mengenai perkara berkenaan daripada FAM terlebih dahulu,” kata Sanusi kepada Harian Metro.

“Minggu depan KFA akan mengadakan pertemuan bersama FAM untuk mengetahui apa yang perlu disediakan bagi memenuhi syarat penubuhan syarikat.”