Malaysia Berita

Malaysia lawan Bahrain 2 Oktober ini

Skuad kebangsaan bakal berdepan Bahrain dalam perlawanan persahabatan pada 2 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata perlawanan persahabatan tersebut adalah sebagai persiapan berdepan UAE pada aksi kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan pada 8 Oktober.

Bagaimanapun, FAM perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk terbang ke Bahrain memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara.

“FAM dan Bahrain FA sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengadakan aksi persahabatan di tempat lawan, namun kita perlu menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum terbang ke sana,” katanya kepada Bernama.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka memanggil beberapa pemain bagi menjalani latihan pusat, seminggu sebelum mereka terbang ke Bahrain.”

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di tempat lawan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Selepas aksi berdepan UAE, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Okt, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov ini.