Liga Super Malaysia Berita

Kandungan ‘kaya’ dan menarik antara sebab JDT raih hampir 4 juta pengikut media sosial

Banyak sebab yang boleh dilihat mengapa JDT mempunyai jumlah pengikut sehingga 3.6 juta di tiga platform media sosial, jauh meninggalkan semua pasukan Liga Malaysia ketika ini.

Malah, sejak JDT bersaing dalam AFC Champions League, jumlah pengikut mereka di media sosial semakin lama semakin meningkat.

Selain kejayaan di atas padang, dengan memenangi piala setiap musim, kandungan media sosial yang disediakan oleh Johor Southern Tigers banyak memainkan peranan.

Akaun rasmi media sosial JDT sering memaparkan perkembangan semasa, menunjukkan rutin harian pemain JDT, fakta-fakta mengenai JDT serta memaparkan sejarah negeri Johor.

Malah, mereka tidak lupa untuk mempromosi barangan rasmi JDT seperti jersi terbaru dan memberikan tawaran menarik terutamanya kepada pemegang pas bermusim JDT.

Kandungan Johor Southern Tigers cukup kaya dan meliputi pelbagai perkara sekali gus menarik perhatian pelbagai pihak, bukan sahaja penyokong JDT tetapi juga penyokong pasukan lain dan orang Johor sendiri.

Malah, konsep JST memuatnaik maklumat dalam dwibahasa sudah tentu akan turut menarik perhatian penyokong bolasepak dari luar negara.

Sebab itu, tidak hairan jika JDT mempunyai hampir 2.5 juta pengikut di laman Facebook, 900,000 pengikut di Instagram dan 217,000 pengikut di laman Twitter.