Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan bahawa Marcel Kalonda berpeluang untuk beraksi kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 dan Piala AFF Suzuki 2020 hujung tahun ini.
Pemain berusia 22 tahun itu dalam proses akhir untuk mengesahkan statusnya selepas menghantar semua dokumen yang berkaitan iaitu sijil kelahirannya dan datuknya, sijil perkahwinan ibu bapa, pasport dan surat daripada Persatuan Bolasepak Demokratik Republik Congo.
Jika proses itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat, Kalonda boleh tersenarai untuk skuad kebangsaan dalam kejohanan utama tahun ini.
“Semua dokumen berkaitan sejarah latar belakangnya dan hubungan dengan Malaysia kita dah terima. Selesai proses penelitian baru kita akan hantar kepada KDN dan Imigresen,” katanya kepada Harian Metro.
“Memang kita harap kalau boleh proses kelulusan daripada pihak kerajaan itu dapat dipercepatkan bagi membolehkan kita menyenaraikan namanya secepat mungkin.”
Bagaimanapun, Yusoff berkata Kalonda akan tetap melalui pemilihan terlebih dahulu.
“Dia tetap kena melalui ujian pemilihan dan kalau jurulatih setuju, mungkin dia boleh bermain sebelum hujung tahun ini. Kalau lagi awal, lagi baik.”