Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Sesi latihan hanya boleh dilakukan selama 45 minit

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan mendedahkan bahawa antara SOP yang ditetapkan MKN dan KKM adalah sesi latihan hanya boleh dijalankan selama 45 minit.

Malah, setiap sesi latihan hanya boleh melibatkan seramai 10 orang pemain.

“Ini adalah kali pertama pasukan akan berlatih dalam tempoh 45 minit sahaja. Kita kena ikutlah arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” kata Sathia kepada Sinar Harian.

“Yang penting kita sebagai jurulatih kena cari ramuan latihan yang boleh dimasukkan dalam tempoh 45 minit itu. Takkanlah selama 45 minit tu berlari sahaja. Ini bola dan latihan mesti ada kena mengena dengan bola.

“Kita juga perlu elakkan daripada melakukan sebarang kontak ketika sesi latihan berjalan.”

Dalam pada itu, barisan pemain Selangor akan melakukan ujian saringan Covid-19 di pejabat FAS bermula hari ini.

Sathia berkata, kesemua pemain serta pegawai pasukan terutamanya akan menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusan akan diserahkan kepada MFL setelah mendapat pengesahan daripada doktor pasukan.

“Bila dapat keputusan, barulah kita akan mulakan latihan tetapi keputusannya akan mengambil masa selama dua hari.

“Kita juga akan buat ‘fat test’ (ujian lemak) kepada semua pemain. Daripada situlah, kita akan tahu sama ada pemain berkenaan ikut dan buat kerja rumah yang kita berikan.”