Liga Super Malaysia Berita

PDRM: Liga Malaysia tidak patut ada penyingkiran musim ini

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Polis DiRaja Malaysia (PDRM FA), Zulkefly Yahya berharap tiada penyingkiran dibuat pada musim ini.

Beliau berkata, penyingkiran dianggap tidak adil kerana PDRM yang dikenakan pemotongan tiga mata terpaksa berhempas pulas untuk memenangi semua perlawanan selepas saingan liga kini hanya mempunyai satu pusingan.

“Kita minta konsep penyingkiran itu dikaji semula dalam keadaan kami bermula dengan potongan tiga mata dan saingan liga pun hanya berlangsung satu pusingan,” katanya kepada BH Sukan.

“Kalau terpaksa turun liga pun, kami tiada masalah. Namun, kami optimis untuk terus bersaing.”

Pada masa sama, Zulkefli menganggap PDRM layak kekal di Liga Super selepas pasukan yang diasaskan oleh polis itu berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain berjumlah RM1.3 juta secara berperingkat.

“Memang pada awal musim kami menghadapi masalah gaji, sehingga dipotong tiga mata tetapi kami sudah berunding dengan pemain, dan bayaran dibuat secara berperingkat.

“Walaupun kami ‘miskin’, kami berjaya selesaikan hutang gaji semua pemain berjumlah RM1.3 juta, dengan kaedah tiga kali pembayaran. Bayaran gaji bulan Mei pun tiada masalah.”

Walaubagaimanapun, PDRM membuat keputusan untuk membubarkan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini, selepas kedua-dua pertandingan itu dibatalkan.

Zulkefly berjanji PDRM akan membayar pampasan minimum sebanyak 25 peratus daripada baki kontrak pemain serta pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia mengikut garis panduan ditetapkan FAM.