Kolum Eropah

Pengganti Cristiano Ronaldo ditemui?

Pada pertengahan minggu ini, Cristiano Ronaldo telah mencatat rekod peribadinya apabila berjaya menjaringkan gol ke-700 sepanjang karier bola sepaknya. Jaringan gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Sweden itu menjadi saksi kepada rekod bersejarah tersebut.

Oleh yang demikian, tugas berat menanti mana-mana pemain yang berhajat untuk menjadi pengganti kepada bintang Portugal itu. 

Seorang pemain Portugal yang berusia 17 tahun dikatakan bakal mengikut jejak langkah Ronaldo selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama pasukannya. Fabio Silva yang merupakan pemain barisan serangan skuad muda Porto dilihat begitu lincah diatas padang.

Mengikut pada rekod semasa, Fabio Silva telah menyumbang 33 gol daripada 39 penampilan bersama skuad remaja Porto dan turut membantu Porto membenam Chelsea 3-1 dalam perlawanan akhir Liga Remaja UEFA.

Terbaru, pemain lincah ini sekali lagi mencuri perhatian dengan mencipta hatrik buat pasukan Portugal B-19 pada aksi persahabatan menentang Itali hujung minggu lalu. Perbezaannya dengan Ronaldo ternyata pada kekuatan kaki dominan. Fabio Silva mempunyai bisa di kaki kirinya, manakala Ronaldo pula mempertaruhkan kaki kanan sebagai aset paling berharga.

Persoalannya, adakah Fabio Silva mampu meneruskan kecemerlangan untuk menjadi seperti Cristiano Ronaldo atau ianya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam?