Kolum Eropah

Ramuan Ole kurang perisa

Seminggu sebelum pertembungan menentang Liverpool, pengendali Manchester United Ole Gunnar Solksjaer menyatakan bahawa dia telah menemui ramuan sebenar buat pasukannya. Ini berikutan kegagalan United dalam mengutip mata penuh dalam perlawanan sebelum ini. Tetapi ramuan yang dipertaruhkan malam semalam seolah kurang sengat. 

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Old Trafford semalam, Liverpool gagal meneruskan rekod cemerlang untuk menang semua perlawanan apabila diikat 1-1 oleh pasukan tuan rumah.

(Photo by Tom Purslow/Manchester United via Getty Images)

Penyandang Juara Eropah yang turun tanpa bintang utama, Mohamed Salah dilihat seakan-akan mampu untuk menjinakkan tuan rumah. Tambahan pula, penjaga gawang utama, Alisson Becker kembali ke posisi asal setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. 

Begitu juga dengan United yang kembali mendapat khidmat pemain bek kanan, Aaron Wan Bissaka. Manakala penjaga gawang utama, David de Gea yang dilaporkan mengalami kecederaan ketika aksi bersama pasukan kebangsaan Sepanyol turut diturunkan semalam.

Jika dilihat pada persembahan semasa, Liverpool dijangka menang mudah. Namun sebaliknya, The Red Devils berjaya memberikan saingan hebat dan berjaya memperoleh gol pendahuluan melalui Marcus Rashford yang menyempurnakan hantaran lintang Daniel James pada babak pertama.

Walaupun berlaku sedikit kontroversi bagi gol tersebut ekoran kekasaran yang dilakukan Victor Lindelof terhadap Divock Origi ketika United membuat serangan. 

Video Bantuan Pengadil (VAR) juga menjadi duri dalam daging buat Liverpool apabila gol penyamaan Sadio Mane dibatalkan kerana bola terkena tangan sebelum gol dijaringkan.

Ternyata Liverpool mendominasi perlawanan dengan penguasaan bola sebanyak 68% dan berjaya menghasilkan 648 hantaran bola dalam aksi semalam. United sebaliknya lebih banyak menyerap serangan dan menghasilkan serangan menerusi serangan balas. Gol yang dihasilkan United juga sebenarnya melalui satu gerakan serangan balas.

Kebijaksanaan Jurgen Klopp menukar tiga pemain tengah pada lewat babak kedua akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Adam Lallana menjaringkan gol penyamaan melalui satu tampanan mudah dihadapan gol. 

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Taktikal Klopp yang lebih gemar menggunakan pemain bek kiri dan kanan untuk membuat hantaran silang seolah-olah sudah dibaca oleh United. Kebanyakkan hantaran lintang yang dihasilkan Liverpool semalam berjaya dipatahkan oleh bek tengah United. Namun, hantaran silang Andrew Robertson di hujung permainan gagal dibaca pemain-pemain United dan ianya memberikan gol penyamaan buat pasukan pendahulu liga.

Sekali lagi, Solksjaer gagal membuktikan ramuan dan taktikalnya menjadi. Kegagalan mengutip tiga mata penuh semalam menyebabkan United kekal di tangga ke-13 liga dengan 10 kutipan mata.

Secara perbandingan, Solksjaer sebenarnya lebih baik berbanding Sir Alex Ferguson kerana dia mampu mencatat kemenangan besar 5-1 pada perlawanan kendalian pertamanya. Sebaliknya, Ferguson mencatat kekalahan 2-0 pada aksi pertama United menentang Oxford United. Kejayaan yang ditempah Ferguson bukan datang dalam masa yang singkat. Malah ianya mengambil sedikit masa untuk mencapai kualiti yang diidamkan. 

Namun begitu, ianya masih terlalu awal untuk menghakimi Solksjaer hanya kerana kegagalannya membawa United ke puncak liga. Sedangkan skuad yang dibina Liverpool pada hari ini juga merupakan produk kepada kegagalan tiga atau empat musim sebelumnya.

Persoalannya, mampukah Solksjaer membawa United kembali menjadi pesaing dalam Liga Perdana Inggeris?