Kolum Eropah

Lima fakta perlawanan Manchester United vs Liverpool yang anda perlu tahu

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool akhirnya keciciran mata selepas bangkit daripada ketinggalan dalam aksi menentang Manchester United malam semalam. Gol di penghujung babak kedua oleh Adam Lallana berjaya memadam gol pendahuluan Marcus Rashford sekaligus menafikan kemenangan yang dicari-cari United.

Terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dikongsi daripada perlawanan semalam. Berikut disertakan lima fakta perlawanan yang anda perlu tahu:

1.United tempang, Liverpool gagal ambil peluang

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Jika dilihat diatas kertas, Liverpool mempunyai kelebihan yang tersendiri daripada segi kecergasan dan prestasi pemain. Skuad Jurgen Klopp turun hanya tanpa Mohamed Salah yang mengalami kecederaan pergelangan kaki, manakala pasukan tuan rumah turun tanpa beberapa pemain utama seperti Paul Pogba, Eric Bailly, Luke Shaw, Jesse Lingard, dan Nemanja Matic. Tetapi The Red Devils masih mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan penyandang juara eropah.

2.Rekod cemerlang Liverpool tercalar

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Liverpool hadir ke Stadium Old Trafford dengan rekod cemerlang lapan kemenangan daripada lapan perlawanan. Keputusan seri semalam sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pencabar terdekat, Manchester City yang kini ketinggalan enam mata di tangga kedua.

3.Pemain muda pamer taring

(Photo by Tom Purslow/Manchester United via Getty Images)

Pemain-pemain muda daripada kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang begitu meyakinkan. Bek kanan Liverpool, Trent Alexander Arnold dilihat begitu selesa dengan hantaran silang dan hantaran jauh yang tepat kepada rakan sepasukan. Maka tidak pelik jika Alexander Arnold yang bermain di posisi pertahanan mampu mencatat jumlah bantuan gol terbanyak pada musim lepas. Bagi skuad The Red Devils, Daniel James mempamerkan larian berbahaya di sebelah kiri dan kanan sayap serta berjaya menghasilkan satu bantuan gol. Ancaman yang kerap kali hadir daripada pemain muda ini juga menyebabkan dia dikawal ketat oleh Virgil van Dijk dan Joel Matip.

4.Manchester United dan satu gol berpisah tiada

(Photo by John Peters/Manchester United via Getty Images)

Kali terakhir Manchester United menjaringkan lebih daripada satu gol adalah pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea. Mereka menang besar 4-0 dalam perlawanan tersebut. Namun, sejak daripada itu barisan serangan United ketandusan gol dan hanya mampu mencatat satu gol pada beberapa perlawanan. Sepanjang 11 perlawanan dalam semua kejohanan, United hanya menjaringkan satu gol dalam lapan perlawanan. 

5.Alisson kembali di posisi utama

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Penjaga gawang utama Liverpool, Alisson Becker kembali beraksi setelah berehat lebih kurang dua bulan ekoran kecederaan yang dialami pada pertemuan menentang Norwich City. Alisson terlepas 12 perlawanan termasuk aksi UEFA Super Cup menentang Chelsea. Ini bermakna Adrian akan kembali memanaskan bangku simpanan selepas menjadi taruhan buat skuad The Reds sepanjang ketiadaan Alisson.