Eropah Berita

Ozil buka mulut

Bintang tengah Arsenal, Mesut Ozil akhirnya bersuara bagi menjawab segala persoalan mengenai masa depannya di Stadium Emirates.

Ozil yang hanya diturunkan sekali dalam saingan liga pada musim ini dikatakan akan meninggalkan Arsenal berikutan gagal menempatkan diri dalam skuad utama. Beberapa kelab eropah turut berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemenang Piala Dunia 2014 itu.

Dalam satu laporan terbaru The Athletic UK, Ozil menjelaskan bahawa dia akan kekal bersama The Gunners sehingga 2021. Bekas pemain Real Madrid ini menambah bahawa dia perlu memperbaiki mutu persembahan diatas padang dan perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lain untuk menempatkan diri dalam skuad utama.

Ozil meminta semua pihak agar berhenti mengkritik pengendali utama Arsenal, Unai Emery dan menghormati keputusan beliau. Unai lebih mengetahui siapa lebih layak untuk beraksi. 

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Penyokong Arsenal dilihat berang dengan tindakan Unai yang tidak menurunkan Ozil dalam perlawanan liga. Ianya menjadi lebih keruh ekoran keadaan semasa Ozil yang dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih tidak disenaraikan dalam skuad utama. Ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang hubungan diantara mereka berdua.

Unai lebih gemar menggunakan khidmat pemain muda seperti Joe Willock dan Bukayo Saka dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Ozil menampilkan persembahan yang baik ketika diturunkan pada aksi menentang Watford, tetapi tetap dikeluarkan pada minit ke-71.

Berdasarkan rekod, Ozil telah menjaringkan 32 gol daripada 167 perlawanan liga. Sepanjang tujuh musim yang telah diharungi, pemain berdarah Turki ini telah meraih tiga Piala FA dibawah kendalian bekas pengurus, Arsene Wenger.