Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Pemain boleh berlatih menggunakan bola secara individu

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan menganggap kebenaran untuk berlatih semula tanpa sentuhan fizikal bermula 15 Jun ini adalah permulaan yang baik sebelum Liga Malaysia disambung semula.

Beliau berkata, pemain juga boleh berlatih menggunakan bola tanpa sentuhan seperti apa yang dilakukan pasukan Eropah.

“Ada banyak cara latihan tidak melibatkan sentuhan boleh kita buat. Yang penting, kena ada bola dan jika bola boleh diberikan kepada semua pemain ia lebih elok,” katanya kepada Sukan Sinar.

“Di sini terserah kepada jurulatih, bagaimana mengendalikan sesi latihan berkenaan. Ada bermacam-macam cara yang boleh dilakukan, namun paling penting adalah pemain sudah boleh mula menjalani latihan di padang.”

Pada masa sama, Sathia berharap kerajaan akan membenarkan latihan bersentuhan selepas ini bagi membolehkan setiap pasukan dapat mengadakan perlawanan persahabatan sebelum liga kembali bersaing.

“Ini adalah fasa semua pasukan boleh mula adakan latihan semula dan ikut SOP tertentu dan tidak melibatkan sentuhan.

“Mungkin selepas ini, sentuhan akan dibenarkan dalam latihan dan kita boleh buat latihan seperti perlawanan sparring sesama pemain, perlawanan lima sebelah, tujuh sebelah dan juga perlawanan persahabatan.

“Ini penting sebagai persediaan untuk mengharungi perlawanan sebenar. Tak boleh kalau tanpa latihan seperti perlawanan-perlawanan persahabatan pemain terus bermain dalam pertandingan.”