Malaysia Berita

Piya masih tunggu panggilan KAFA

Mohd Badhri Mohd Radzi mengakui masih menunggu panggilan dari KAFA mengenai soal penstrukturan semula bayaran tunggakan gaji.

Pemain ikon Kelantan berusia 38 tahun itu sebelum ini mengkritik kegagalan KAFA membayar tunggakan gajinya seperti yang dipersetujui dengan FAM.

“Menurut laporan akhbar, perbincangan itu adalah untuk penjadualan semula pembayaran tunggakan gaji. Ya, kita terima tetapi dengan syarat pembayaran dibuat dengan betul mengikut jadual,” katanya kepada Sukan Sinar.

“Mungkin jumlahnya akan berkurangan tetapi perlu mengikut jadual sehinggalah kesemua jumlah pembayaran tunggakan gaji berkenaan selesai dibuat.”

Piya mula beraksi dengan pasukan utama Kelantan pada musim 2006 sebelum menyertai PDRM selama semusim. Beliau menyertai semula Kelantan FA pada 2008 dan berjaya menjulan enam piala termasuk treble pada 2012.

Namun, kapten marvel Kelantan itu disisihkan secara tiba-tiba pada musim 2018 dan sejak itu KAFA gagal menyelesaikan tunggakan gaji Piya sehingga ke hari ini.

Bekas penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha juga mengakui masih belum ada sebarang perbincangan rasmi dengan KAFA.

“Kita mahu pembayaran dilaksanakan dengan betul mengikut kaedah penjadualan pembayaran. Kita berharap masalah tunggakan gaji ini akan dapat diselesaikan dan kesemua pemain akan menerima gaji masing-masing.”