Liga Super Malaysia Berita

Lima pasukan berdepan tunggakan gaji bekas pemain import, termasuk Terengganu

Sebanyak lima buah pasukan Liga Malaysia dilaporkan masih belum menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain daripada musim sebelum ini.

Arena Metro menamakan Melaka United, Kelantan, Kedah yang sudah diketahui umum tetapi laporan tersebut mendakwa PDRM dan Terengganu turut berdepan masalah dengan hutang bekas pemain import.

PDRM yang baru sahaja naik liga musim ini masih lagi membuat pembayaran kepada pemain mereka termasuk import dengan nilai keseluruhan melebihi setengah juta ringgit.

Melaka United yang baru sahaja terlepas daripada pemotongan mata dan diberikan kelonggaran oleh FAM dilaporkan masih belum membayar tunggakan gaji pemain musim lalu dengan jumlah RM800,000.

Pengurusan Terengganu lebih apabila parah apabila masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain sejak 2018, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menggesa pasukan-pasukan yang berdepan masalah tersebut segera memikirkan jalan penyelesaian bagi mengelakkan daripada dilaporkan kepada FIFA dan dikenakan hukuman berat.

“FAM bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pasukan apabila mereka berhadapan dengan tuntutan daripada pemain import menerusi Fifa,” katanya kepada Arena Metro.

“Ada terma tertentu yang mungkin pasukan atau kelab terlepas pandang seterusnya FAM boleh memberi khidmat nasihat sewajarnya bagi mengelak mereka dikenakan tindakan atau hukuman lebih berat.”