Liga Super Malaysia Berita

Pahang kembalikan semangat Fazly Mazlan

Tahun 2014 merupakan detik manis buat Fazly Mazlan apabila di usia 21 tahun, dia menjadi antara pemain muda kelahiran Johor yang berjaya menembusi kesebelasan utama JDT dan memenangi 10 buah piala sepanjang bersama kelab tersebut.

Namun, JDT membuat kejutan apabila membenarkan Fazly menyertai Pahang secara pinjaman musim ini.

Keputusan itu dibuat mungkin disebabkan pemain berusia 26 tahun itu bukan lagi pilihan Benjamin Mora dan posisi pertahanan kiri JDT kini diisi oleh La’vere Corbin Ong dan Syazwan Andik.

Malangnya, apabila Fazly tiba di Kuantan, dia turut berdepan dengan masalah yang serupa di JDT apabila terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain di posisi kiri iaitu Mohd Faisal Rosli dan R Dinesh.

“Tapi, saya anggap perebutan posisi itu adalah persaingan sihat dan jurulatih tidak berdepan masalah untuk menyenaraikan pemain utama pada setiap perlawanan,” kata Fazly kepada Arena Metro.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh bagaimanapun sudah tiga kali menurunkan Fazly ketika perlawanan bertemu PJ City, Sabah dan Melaka United.

Ternyata, ia memberikan semangat buat Fazly untuk mempamerkan aksi cemerlang pada musim ini.

“Saya perlu bersedia dan mempertingkatkan lagi prestasi jika mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama sebaik liga bersambung nanti.”